Monday 30 April 2012

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Sains dan Teknologi


Penerokaan Angkasa Lepas


       Konsep penerokaan angkasa lepas yang cuba dimajukan oleh Malaysia bukanlah sepertimana yang digambarkan dalam fiksyen sains filem dan televisyen yang pernah kita tonton.  Konsep penerokaan angkasa lepas Malaysia lebih menjurus kepada usaha memperkembangkan bidang-bidang tertentu dalam industri aeroangkasa, di samping cuba membuka ruang yang lebih luas kepada bidang penyelidikan alam cakerawala.  Dengan kata lain, sebagai peserta baru dalam bidang ini, Malaysia sedang mencari masa depannya ke arah menjadi pemain utama dalam industri angkasa dan juga penerokaan ruang angkasa.
          Apabila Malaysia melancarkan satelit komunikasi pertamanya, MEASAT-1  pada bulan Januari 1996 dan satelit MEASAT-2 kira-kira 10 bulan kemudiannya, ia telah membuka ruang serta akan merancakkan lagi bidang kajian sains angkasa di negara ini.  Pada masa yang sama ia turut membenihkan bibit-bibit kesedaran di kalangan orang ramai tentang industri  aeroangkasa.
         Perkembangan bidang kajian sains angkasa di negara ini bermula semenjak tahun 1990-an lagi dengan pembinaan kompleks Planetarium Negara dan penubuhan Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA) di Jabatan Perdana Menteri.  Menjelang Julai 1995, BAKSA telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk memantapkan lagi peranannya membantu kemajuan sains dan teknologi di Malaysia.
          Malaysia telah berjaya melancarkan satelit mikro pertamanya, TiungSAT-I, pada bulan September 2000.  Satelit berkenaan hasil daripada Program Latihan dan Pemindahan Teknologi di Pusat Angkasa Surrey yang melibatkan Surrey Satellite Technology Ltd. (SSTL) dan Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dari Malaysia.  Kehadiran satelit mikro itu di orbit bumi memberi ruang bagi Malaysia meneroka angkasa secara lebih giat lagi. 
          Kewujudan Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia (1997) membuktikan kesungguhan Malaysia dalam bidang kajian angkasa lepas.  Dengan adanya pelan terancang ini industri aeroangkasa akan dapat dimajukan secara lebih efisyen dan menjadi pemangkin pembangunan negara.  Komitmen kerajaan dalam membangunkan industri aeroangkasa kian jelas dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara (AAN) pada bulan Julai 2002.  Agensi ini berperanan besar dalam menghadapi era globalisasi yang menekankan kepentingan dasar langit terbuka.  Antara lain, menurut Ketua Pengarah AAN, Prof Datuk Dr. Mazlan Othman, Malaysia perlu mempunyai satelitnya sendiri yang mengorbit khatulistiwa agar masalah-masalah berkaitan dengan geografi dan pertahanan negara dapat ditangani secara berkesan.  Penubuhan AAN adalah suatu usaha menggembleng idea tenaga pakar tempatan untuk menjayakan penerokaan angkasa lepas.  Di samping menggalakkan kerjasama antarabangsa, agensi ini juga dapat menyelaraskan aktiviti penerokaan angkasa lepasnya seiring dengan peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
          Banyak keperluan negara dapat dipenuhi melalui usaha penerokaan angkasa lepas yang terancang.  Kejayaan bidang penerokaan angkasa lepas akan memberi imej baik terhadap kemajuan bidang sains dan teknologi negara ini, selaras dengan cabaran Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan berpandangan jauh.  Kejayaan Malaysia dalam bidang teknologi angkasa lepas akan memacu kemajuan negara dan seterusnya meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam bidang penyelidikan angkasa lepas.
          Pelancaran satelit ke orbit boleh memantapkan sistem komunikasi negara sepertimana yang dicapai oleh satelit MEASAT 1 dan MEASAT 2.  Melalui penggunaan satelit-satelit berkenaan, komunikasi menerusi telefon mudah alih menjadi lebih efisyen.  Menurut Prof. Madya Dr. Mustafa bin Subari dari BAKSA, penggabungan antara satelit navigasi dengan telefon mudah alih bukan sahaja memudahkan komunikasi tetapi juga memungkinkan kedudukan individu berkenaan dikesan melalui teknologi Global Positioning System (GPS).  Keberkesanan penggunaan satelit untuk berkomunikasi dan mengesan kedudukan jelas dapat dilihat ketika Datuk Azhar Mansur yang belayar solo mengelilingi dunia menggunakan telefon mudah alih iridium untuk menghubungi pusat pemantaunya di Langkawi.
          Selain daripada itu, kemajuan penerokaan angkasa lepas juga berfaedah kepada beberapa bidang tertentu.  Antara bidang yang dapat memanfaatkan kemajuan berkenaan ialah perdagangan dan pengangkutan.  Satelit navigasi menerusi teknologi GPS misalnya, kini digunakan secara efektif di Lembah Kelang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memantau pergerakan teksi-teksi yang memberi perkhidmatan kepada para pelanggan KLIA.  Dengan bantuan Intelligent Vehicles System (IVS), kenderaan pintar berkenaan boleh dikesan dan dihubungi dengan mudah.  Sistem ini juga telah digunakan ke atas kenderaan-kenderaan sewa untuk memantau pergerakkannya.
          Kemudahan satelit juga turut membantu kemajuan bidang perikanan di negara ini.  Sistem pengesanan jarak jauh (remote sensing) dengan kemudahan GPS amat berguna bagi nelayan-nelayan laut dalam untuk mengesan kedudukan ikan-ikan di laut.  Selain daripada itu, teknologi ini berguna ketika negara dilanda masalah jerebu kerana ia juga boleh membantu mengelakkan pelanggaran dengan kapal-kapal lain yang sedang melalui perairan negara.
          Antara bidang lain yang turut menerima faedah daripada teknologi angkasa lepas ialah bidang geografi.  Kajian dan ramalan cuaca dapat dibuat secara lebih efektif dan tepat melalui kemudahan satelit pengesanan jarak jauh.  Sebarang bentuk bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan hujan lebat dapat dikesan lebih awal.  Dengan itu, langkah segera untuk mengelakkan sebarang tragedi dapat diambil.  Kerja-kerja pemetaan kawasan juga dapat dilakukan dengan mudah.  Penyediaan peta dan penentuan topografi sesuatu kawasan akan dapat dibuat secara lebih baik dengan bantuan satelit.
          Dalam bidang pertahanan, kemudahan satelit navigasi akan membantu kerja-kerja memantau keselamatan negara dengan lebih berkesan.  Oleh kerana perairan negara kita merangkumi kawasan yang luas serta mengandungi banyak pulau maka pemantauan menerusi sistem satelit adalah suatu kaedah yang paling baik.  Perairan Sabah dan kawasan pedalaman Sarawak misalnya, merupakan kawasan-kawasan yang sukar dipantau melalui penggunaan tenaga manusia.  Oleh yang demikian, sistem pemantauan melalui satelit secara berterusan akan membantu mengesan pencerobohan dan juga kegiatan jenayah penyeludupan di kawasan berkenaan.
          Selain daripada itu penerokaan angkasa lepas turut memberi faedah yang besar kepada kemajuan industri aeroangkasa di negara ini.  Antara bidang industri aeroangkasa yang mendapat faedah besar daripada kemajuan penyelidikan angkasa ialah teknologi pembuatan pesawat.  Bidang ini telah mencambahkan hasilnya di negara ini apabila Malaysia berjaya mengeluarkan pesawat peninjau tanpa pemandu pertamanya pada tahun 2001.  Pesawat yang dikenali sebagai Eagle Airborne Reconnaissance Vehicle (ARV) dibina melalui projek usahasama  dengan British Aerospace System (BAE).  Selain daripada membantu kemajuan sistem pertahanan negara kita sendiri, pesawat ini juga akan dieksport ke luar negara.
          Bidang penerokaan angkasa lepas yang kian berkembang di negara ini juga banyak memberi faedah kepada institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.  Kebanyakan IPT tempatan kini mempunyai bahagian kajian sains angkasa mereka sendiri untuk membuat penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing serta melahirkan lebih ramai pakar sains angkasa negara ini.  Langkah ini sudah tentu akan membantu kemajuan negara dalam bidang penerokaan angkasa lepas masa hadapan.
          Bidang penerokaan angkasa lepas di Malaysia terus menggalas harapan yang lebih tinggi pada masa hadapan.  Antara harapan yang ingin direalisasikan ialah menerbangkan angkasawan sendiri ke angkasa lepas sana.  Kita juga ingin menjadi pemain utama dalam penerokaan angkasa sepertimana Amerika Syarikat, Rusia dan China.  Jika dilihat kepada usaha-usaha yang sedang kita gerakkan pada masa ini, kita bukan lagi sedang mencari masa depan dalam bidang penerokaan angkasa lepas.  Kita sebenarnya sedang membina masa depan untuk ditempatkan di ruang cakerawala sana pada alaf akan datang.


No comments:

Post a Comment