Monday 30 April 2012

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Sains dan Teknologi


Penerokaan Angkasa Lepas


       Konsep penerokaan angkasa lepas yang cuba dimajukan oleh Malaysia bukanlah sepertimana yang digambarkan dalam fiksyen sains filem dan televisyen yang pernah kita tonton.  Konsep penerokaan angkasa lepas Malaysia lebih menjurus kepada usaha memperkembangkan bidang-bidang tertentu dalam industri aeroangkasa, di samping cuba membuka ruang yang lebih luas kepada bidang penyelidikan alam cakerawala.  Dengan kata lain, sebagai peserta baru dalam bidang ini, Malaysia sedang mencari masa depannya ke arah menjadi pemain utama dalam industri angkasa dan juga penerokaan ruang angkasa.
          Apabila Malaysia melancarkan satelit komunikasi pertamanya, MEASAT-1  pada bulan Januari 1996 dan satelit MEASAT-2 kira-kira 10 bulan kemudiannya, ia telah membuka ruang serta akan merancakkan lagi bidang kajian sains angkasa di negara ini.  Pada masa yang sama ia turut membenihkan bibit-bibit kesedaran di kalangan orang ramai tentang industri  aeroangkasa.
         Perkembangan bidang kajian sains angkasa di negara ini bermula semenjak tahun 1990-an lagi dengan pembinaan kompleks Planetarium Negara dan penubuhan Bahagian Kajian Sains Angkasa (BAKSA) di Jabatan Perdana Menteri.  Menjelang Julai 1995, BAKSA telah diletakkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk memantapkan lagi peranannya membantu kemajuan sains dan teknologi di Malaysia.
          Malaysia telah berjaya melancarkan satelit mikro pertamanya, TiungSAT-I, pada bulan September 2000.  Satelit berkenaan hasil daripada Program Latihan dan Pemindahan Teknologi di Pusat Angkasa Surrey yang melibatkan Surrey Satellite Technology Ltd. (SSTL) dan Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dari Malaysia.  Kehadiran satelit mikro itu di orbit bumi memberi ruang bagi Malaysia meneroka angkasa secara lebih giat lagi. 
          Kewujudan Pelan Induk Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia (1997) membuktikan kesungguhan Malaysia dalam bidang kajian angkasa lepas.  Dengan adanya pelan terancang ini industri aeroangkasa akan dapat dimajukan secara lebih efisyen dan menjadi pemangkin pembangunan negara.  Komitmen kerajaan dalam membangunkan industri aeroangkasa kian jelas dengan penubuhan Agensi Angkasa Negara (AAN) pada bulan Julai 2002.  Agensi ini berperanan besar dalam menghadapi era globalisasi yang menekankan kepentingan dasar langit terbuka.  Antara lain, menurut Ketua Pengarah AAN, Prof Datuk Dr. Mazlan Othman, Malaysia perlu mempunyai satelitnya sendiri yang mengorbit khatulistiwa agar masalah-masalah berkaitan dengan geografi dan pertahanan negara dapat ditangani secara berkesan.  Penubuhan AAN adalah suatu usaha menggembleng idea tenaga pakar tempatan untuk menjayakan penerokaan angkasa lepas.  Di samping menggalakkan kerjasama antarabangsa, agensi ini juga dapat menyelaraskan aktiviti penerokaan angkasa lepasnya seiring dengan peraturan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
          Banyak keperluan negara dapat dipenuhi melalui usaha penerokaan angkasa lepas yang terancang.  Kejayaan bidang penerokaan angkasa lepas akan memberi imej baik terhadap kemajuan bidang sains dan teknologi negara ini, selaras dengan cabaran Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan masyarakat saintifik, progresif, inovatif dan berpandangan jauh.  Kejayaan Malaysia dalam bidang teknologi angkasa lepas akan memacu kemajuan negara dan seterusnya meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara maju dalam bidang penyelidikan angkasa lepas.
          Pelancaran satelit ke orbit boleh memantapkan sistem komunikasi negara sepertimana yang dicapai oleh satelit MEASAT 1 dan MEASAT 2.  Melalui penggunaan satelit-satelit berkenaan, komunikasi menerusi telefon mudah alih menjadi lebih efisyen.  Menurut Prof. Madya Dr. Mustafa bin Subari dari BAKSA, penggabungan antara satelit navigasi dengan telefon mudah alih bukan sahaja memudahkan komunikasi tetapi juga memungkinkan kedudukan individu berkenaan dikesan melalui teknologi Global Positioning System (GPS).  Keberkesanan penggunaan satelit untuk berkomunikasi dan mengesan kedudukan jelas dapat dilihat ketika Datuk Azhar Mansur yang belayar solo mengelilingi dunia menggunakan telefon mudah alih iridium untuk menghubungi pusat pemantaunya di Langkawi.
          Selain daripada itu, kemajuan penerokaan angkasa lepas juga berfaedah kepada beberapa bidang tertentu.  Antara bidang yang dapat memanfaatkan kemajuan berkenaan ialah perdagangan dan pengangkutan.  Satelit navigasi menerusi teknologi GPS misalnya, kini digunakan secara efektif di Lembah Kelang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memantau pergerakan teksi-teksi yang memberi perkhidmatan kepada para pelanggan KLIA.  Dengan bantuan Intelligent Vehicles System (IVS), kenderaan pintar berkenaan boleh dikesan dan dihubungi dengan mudah.  Sistem ini juga telah digunakan ke atas kenderaan-kenderaan sewa untuk memantau pergerakkannya.
          Kemudahan satelit juga turut membantu kemajuan bidang perikanan di negara ini.  Sistem pengesanan jarak jauh (remote sensing) dengan kemudahan GPS amat berguna bagi nelayan-nelayan laut dalam untuk mengesan kedudukan ikan-ikan di laut.  Selain daripada itu, teknologi ini berguna ketika negara dilanda masalah jerebu kerana ia juga boleh membantu mengelakkan pelanggaran dengan kapal-kapal lain yang sedang melalui perairan negara.
          Antara bidang lain yang turut menerima faedah daripada teknologi angkasa lepas ialah bidang geografi.  Kajian dan ramalan cuaca dapat dibuat secara lebih efektif dan tepat melalui kemudahan satelit pengesanan jarak jauh.  Sebarang bentuk bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi dan hujan lebat dapat dikesan lebih awal.  Dengan itu, langkah segera untuk mengelakkan sebarang tragedi dapat diambil.  Kerja-kerja pemetaan kawasan juga dapat dilakukan dengan mudah.  Penyediaan peta dan penentuan topografi sesuatu kawasan akan dapat dibuat secara lebih baik dengan bantuan satelit.
          Dalam bidang pertahanan, kemudahan satelit navigasi akan membantu kerja-kerja memantau keselamatan negara dengan lebih berkesan.  Oleh kerana perairan negara kita merangkumi kawasan yang luas serta mengandungi banyak pulau maka pemantauan menerusi sistem satelit adalah suatu kaedah yang paling baik.  Perairan Sabah dan kawasan pedalaman Sarawak misalnya, merupakan kawasan-kawasan yang sukar dipantau melalui penggunaan tenaga manusia.  Oleh yang demikian, sistem pemantauan melalui satelit secara berterusan akan membantu mengesan pencerobohan dan juga kegiatan jenayah penyeludupan di kawasan berkenaan.
          Selain daripada itu penerokaan angkasa lepas turut memberi faedah yang besar kepada kemajuan industri aeroangkasa di negara ini.  Antara bidang industri aeroangkasa yang mendapat faedah besar daripada kemajuan penyelidikan angkasa ialah teknologi pembuatan pesawat.  Bidang ini telah mencambahkan hasilnya di negara ini apabila Malaysia berjaya mengeluarkan pesawat peninjau tanpa pemandu pertamanya pada tahun 2001.  Pesawat yang dikenali sebagai Eagle Airborne Reconnaissance Vehicle (ARV) dibina melalui projek usahasama  dengan British Aerospace System (BAE).  Selain daripada membantu kemajuan sistem pertahanan negara kita sendiri, pesawat ini juga akan dieksport ke luar negara.
          Bidang penerokaan angkasa lepas yang kian berkembang di negara ini juga banyak memberi faedah kepada institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.  Kebanyakan IPT tempatan kini mempunyai bahagian kajian sains angkasa mereka sendiri untuk membuat penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing serta melahirkan lebih ramai pakar sains angkasa negara ini.  Langkah ini sudah tentu akan membantu kemajuan negara dalam bidang penerokaan angkasa lepas masa hadapan.
          Bidang penerokaan angkasa lepas di Malaysia terus menggalas harapan yang lebih tinggi pada masa hadapan.  Antara harapan yang ingin direalisasikan ialah menerbangkan angkasawan sendiri ke angkasa lepas sana.  Kita juga ingin menjadi pemain utama dalam penerokaan angkasa sepertimana Amerika Syarikat, Rusia dan China.  Jika dilihat kepada usaha-usaha yang sedang kita gerakkan pada masa ini, kita bukan lagi sedang mencari masa depan dalam bidang penerokaan angkasa lepas.  Kita sebenarnya sedang membina masa depan untuk ditempatkan di ruang cakerawala sana pada alaf akan datang.


Kejayaan Malaysia dalam Bidang Seni Visual dan Animasi


Animasi Upin dan Ipin 



Kejayaan filem Animasi Upin dan Ipin keluaran produksi Les’ Copaque Sdn. Bhd. Merupakan satu kejayaan bagi rakyat Malaysia khususnya yang terlibat secara langsung dalam bidang Seni Visual. Sejak Animasi 3D Upin dan Ipin dijanakan melalui TV 9 sekitar tahun 2007 ramai peminat rancangan ini telah memberi respon positif.

Upin dan Ipin ceritanya diolah secara bersahaja yang mengisahkan kehidupan watak kanak-kanak ketika kecil dalam kelompok keluarga Islam. Paling penting penceritaan yang menarik dan mesej yang disampaikan meninggalkan kesan mendalam pada psikologi anak-anak.
Antara perkara yang menarik perhatian dalam kisah Upin dan Ipin ialah:-

Keagamaan (Islam)– secara tak langsung dapat mendidik anak-anak tentang asas agama seperti sembahyang, berpuasa, zakat dan lain-lain.
Moral – kanak-kanak dapat melihat secara positif tentang nilai nilaiyang baik.
Sosial – pergaulan antara kaum yang diolah begitu berkesan kena dengan budaya 1Malaysia.

Watak upin dan ipin dibantu oleh watak-watak yang jelas akan kriteria masing-masing. Watak-watak lain adalah, Opah – nenek yang menjadi penjaga sepenuh masa kepada upin dan ipin setelah kematian ibu bapanya. Kak Ros – kakak kepada upin dan ipin yang menjaga upin dan ipin secara sambilan. Rakan-rakan – Ehsan, Mail, Me Mei, Fizi, Jarjit dan ramai lagi
Sebenarnya Animasi di Negara ini telah pun bermula sejak tahun 1940-an lagi Animasi di Malaysia bermula pada tahun 1946dengan tertubuhnya Unit Filem Malaya (sekarang dikenali sebagai Filem Negara). Filem animasi pendek yang pertama ialah Hikayat Sang Kancil (Anandam Xavier, 1978) dan ditayangkan pada tahun 1983. Filem pendek yang muncul di antara tahun 1984 dan 1987 ialah: Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba. Gesaan kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980-an menyaksikan penghasilan siri TV pertama, Usop Sontorianditerbitkan oleh Kharisma Pictures Sdn. Bhd. 1993-1996 Manakala filem cereka pertama, Silat Lagenda (Hassan Abd Muthalib) ditayangkan pada tahun 1998. Kemudian kartunis agung MalaysiaLat telah menerbitkan filem animasi ‘Kampong Boy’ filem ini dibangunkan di Amerika dan dianimasikan di Filipina dan ditayang melalui ASTRO.
Kembali semula pada kejayaan Ipin dan Upin, sauatu perkembangan yang sungguh menarik. Kerana kejayaannya mendapat tempat diluar Malaysia. Kita disini sering berbangga dengan animasi Jepun seperti Cing Chan dan Doremon, sebaliknya di Indonesia animasi Upin dan Upin sentiasa ditunggu oleh kanak-kanak di sana dan sekarang menjadi ajukan perkataan ‘BETUL BETUL BETUL’.

Apapun, kejayan Upin dan Ipin merupakan kejayaan Malaysia dan kejayaan bidang Seni Visual di Negara ini. Menurut Pengarah Urusannya, Burhanuddin Mohd. Radzi Animasi ini sekarang akan berkunjung ke seluruh India dan Amerika Latin. Tahniah.

Kejayaan Malaysia


 Kejayaan Malaysia




Malaysia dikatakan sebagai sebuah negara yang telah mencapai kejayaan
dalam pelbagai bidang. Kemajuan negara pada hari ini telah menempa nama
di seantero dunia. Bincangkan kemajuan negara Malaysia pada hari ini.


Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan
luar biasa dalam pelbagai bidang. Bidang yang dikecapi termasuklah
perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, aeroangkasa,
pengangkutan dan perhubungan, serta bidang sukan. Kejayaan-kejayaan
luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di
persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu
menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang barat yang jauh lebih maju
daripada kita. Kejayaan Malaysia dalam pelbagai mampu menyuntik
semangat ingin cuba dalam kalangan anak watan untuk meneroka
bidang-bidang yang baru. Secara tidak langsung, Malaysia mampu berusaha
untuk mencapai kejayaan mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020.
Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan
mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. Di Malaysia,
terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu
Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Outomobil Kedua
Sdn.Bhd (PERODUA). Syarikat PROTON berjaya mengeluarkan kereta Proton
Saga pertama di Malaysia pada 9 Julai 1985. Kejayaan ini telah
menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri
setanding kereta asing. Melalaui syarikat PERODUA pula, kereta yang
dihasilkan termasuklah Kancil, Kenari, Kelisa, Myvi , Viva dan
lain-lain. Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat
Malaysia membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti
Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. Hasil eksport
kereta nasional menyumbang besar dalam pendapatan negara. Contohnya,
pada tahun 2006, Malaysia telah mengeksport 20,675 unit kereta
penumpang ke luar negara yang telah menambahkan hasil Keluaran Dalam
Negara Kasar(KDNK) dengan jumlah RM 554.9 juta.
Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan
Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan
negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala
Lumpur. Menara Kuala Lumpur dibina pada tahun 1995. Menara ini
mempunyai bentuk yang tirus dan ketinggiannya ialah 421 meter. Reka
bentuk menara ini banyak dipengaruhi oleh seni bina Islam dan berfungsi
sebagai menara komunikasi untuk mempertingkatkan khidmat
telekomunikasi. Bagi bangunan Menara Berkembar PETRONAS, bangunan ini
merupakan menara kembar tertinggi di dunia yang mempunyai ketinggian
452 meter. Menara Berkembar PETRONAS direka oleh arkitek Cesar Pelli
dan disiapkan pada Mac tahun 1996. Menara ini mempunyai cirri-ciri
keselamatan yang unik dan pertama kali digunakan di Malaysia. Jika
berlaku bencana alam seperti gempa bumi, menara ini akan condong
mengikut tiupan angin kencang hingga 1.5 meter. Ciri-ciri istimewa
menara ini telah menjadi destinasi pelancongan dan menarik banyak
pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun.

Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila
kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I
dan MEASAT II pada bulan September 2000. Malaysia juga melancarkan
mikrosatelit yang pertama ,iaitu TIUNG SAT ke angkasa lepas. Pelancaran
satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang
mempunyai satelit angkasanya sendiri. Kejayaan pelancaran ini merupakn
permulaan kepada teknologi penerokaan angkasa lepas pada 10 Oktober
2007. Sememangnya, program penghantaran angkasawan negara yang pertama
telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Program ini
telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar
mata pelajaran sains dan teknologi. Oleh itu, Dr Sheikh Musazaphar
Shukor Sheikh Mustapha berperanan sebagai “Duta Angkasa Malaysia” untuk
menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains
tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam
bidang angkasawan.
Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa
nama Malaysia di seantero dunia. Di Malaysia, terdapat sistem
pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur(KLIA), Sistem Transit Ringan(LRT), KTM, PUTRA, monorail, Lebuh
Raya Utara-Selatan dan Terowong ***ART. KLIA ialah lapangan terbesar di
negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di
rantau Asia Tenggara. KLIA telah terpilih sebagai lapangan terbang yang
pertama sekali di dunia untuk dianugerahkan Sijil Airport Service
Quality(ASQ) yang diberi daripada Airport Council International(ACL).
Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan(LRT),
KTM, monorail dan PUTRA menjimatkan masa,wang dan tenaga kepada
pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan
teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong ***ART dibina di
Kuala Lumpur pada tahun 2007. Terowang ***ART merupakan lencongan air
yang terpanjang di Asia Tenggara dan mempunyai struktur jalan dan
perparitan yang sepanjang 9.7 kilometer. Pembinaan terowang ini
bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.
Pemain-pemain sukan di Malaysia juga mengharumkan nama
Malaysia di persada antarabangsa. Pemain sukan wanita yang terkenal di
Malaysia ialah Nicol Ann David. Nicol ialah pemain skuasy Malaysia yang
pernah menjadi pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Beliau juga
merupakan orang Asia pertama yang menjuarai kejohanan Remaja Dunia
sebanyak dua kali. Pada Jun 2008, kerajaan Malaysia telah
menganugerahkan Darjah Bakti(DB) kepada Nicol Ann David untuk
menghargai pencapaiannya dalam bidang skuasy. Selain bidang skuasy,
nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Lee
Chong Wei. Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton
professional di Malaysia. Dia selalu menyertai pertandingan badminton
di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang.
Contohnya, semasa Sukan Konmawel 2006 yang diadakan di
Melbourne,Australia, Lee Chong Wei berjaya mendapat kejohanan dalam
acara badminton. Selain itu, dia juga merupakan salah seorang pemain
badminton yang mewakili Malaysia untuk menyertai Sukan Olimpik 2008 di
China dalam acara badminton. Peningkatan pencapian yang cemerlang oleh
pemain-pemain sukan berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.

Secara keseluruhannya, kejayaan manusia dalam pelbagai bidang telah
meningkatkan imej negara Malaysia di seluruh dunia. Pencapaian luar
biasa dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan pencakar langit,
bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang
sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang
ditempa oleh orang barat. Sebenarnya kejayaan luar biasa ini juga
membangkit semangat bangsa Malaysia lebih berani “berdiri sama tinggi
dan duduk sama rendah” dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia. Oleh
itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran
untuk mencapai wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha
gigih, bangga dan memberi sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak
bagi memajukan negara dalam pelbagai bidang.

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Perubatan


Kesan bahan aktif didalam air liur lintah terhadap pesakit jantung
Apabila perjalanan darah tersekat pengalirannya ke jantung, serangan jantung akan berlaku dalam sekelip mata. Sekiranya perkara ini tidak dapat dirawat dengan betul dan pantas, kekurangan udara akan berlaku dan akibatnya otot jantung akan berhenti berfungsi.Pesakit yang mengalami koronari trombosis perlu menjalani rawatan berjadual dengan ejen pencair darah seperti Aspirin atau Heparin demi untuk mengelakkan serangan lanjutan. Namun bahaya tetap ada, rawatan tersebut tidak dapat memberi kesan efektif sehingga 100 peratus.
Penyelidik NZ di Green Lane Hospital Auckland mengusahakan masalah ini. Mereka telah mengkaji kesan dari kaedah perubatan baru yang dipanggil Bivaldurin melalui percubaan kaedah klinikal. Apa yang mereka dapati, bahan tersebut merupakan tindakan perubahan genetik enzim Hirudin, yang terdapat didalam air liur lintah. Bivaldurin mempunyai sifat mencegah kelikatan dalam jangkamasa yang lama dan mengurangkan keberangkalian serangan jantung kepada satu pertiga. Asas perubatan enzim air liur lintah telah dikenalpasti memberi kesan 30 peratus lebih efektif daripada pengunaan Heparin.
*********************************************************************************************
Lintah untuk rawatan
Tentu saja kita akan menjerit melihat lintah merayap di tubuh, malah jijik jika pacat melekat pada kasut atau stokin, kita pasti menjerit.
Tapi ramai yang tidak mengetahui, lintah dalam famili Hirudinidae dan nama saintifiknya Hirudo medicinalis mempunyai enzim yang dapat menahan darah daripada terus membeku semasa gigitannya justeru melancarkan peredaran darah.
Malah pelbagai artikel mengenai perubatan menggunakan lintah boleh didapati dalam Internet.
lintah akan diletakkan pada kawasan yang dirawat dan dibiarkan sehingga luruh sendiri
lintah akan diletakkan pada kawasan yang dirawat dan dibiarkan sehingga luruh sendiri
Lintah telah digunakan sejak berzaman dalam bidang perubatan terutama untuk membuang ‘darah kotor’ dalam badan.
Walaupun penggunaan lintah dalam perubatan dilupakan sekitar 1850-an tetapi telah dipopularkan semula.
Kini, lintah digunakan untuk mengurangkan tekanan dan memulihkan pengedaran darah dalam tisu seperti di jejari dan telinga.
Agen anticoagulant atau anti pembekuan darah yang ada pada lintah juga amat berguna dalam pembedahan bagi membolehkan tempat yang dibedah sentiasa terbuka.
Lintah akan menghisap darah kotor pada badan pesakit yang mengambil masa lebih kurang tiga jam.
Lintah akan dibiarkan menghisap darah sehingga kenyang dan berhenti sebelum luka dibersihkan menggunakan antiseptik.
“Antara masalah yang dirawati menggunakan kaedah tersebut adalah masalah senggugut, gout, sakit kepala, sakit pinggang, bengkak, resdung, kencing manis dan barah payu dara,”
**************************************************************************
Atasi senggugut guna lintah
SENGGUGUT atau premenstrual dysphoric disorder/dysmenorhoea merupakan sakit yang timbul ketika kedatangan haid. Senggugut boleh dibahagikan pada dua jenis, iaitu senggugut primer dan senggugut kedua.
LINTAH mula dilepaskan pada belakang pinggang berpandukan pada poin dan mula menghisap darah kotor.
LINTAH mula dilepaskan pada belakang pinggang berpandukan pada poin dan mula menghisap darah kotor.
Senggugut primer disebabkan oleh penghasilan hormon prostaglandin oleh tubuh yang menyebabkan pengecutan rahim yang luar biasa kuat. Ia biasanya berlaku pada wanita yang belum berkahwin dan menyerang pada hari pertama dan kedua kedatangan haid.
Senggugut kedua pula disebabkan oleh wujudnya sel endometrium di luar rahim (endometriosis) dan berlaku perdarahan dalam perut atau jangkitan kronik. Senggugut ini kebiasaannya dialami seseorang pada usia lanjut dan berlanjutan sepanjang tempoh pendarahan haid.
Selain mengalami sakit perut, penghidap senggugut juga akan mendapat sakit kepala, badan berasa seram sejuk, tidak lalu makan dan bagi yang kronik akan disertai dengan muntah atau cirit-birit.
Bagi penghidap senggugut, kedatangan haid boleh menyebabkan fobia atau ketakutan kerana terpaksa menderita lagi akibat sakit perut yang keterlaluan.
Masalah senggugut boleh dirawat atau dikurangkan menggunakan kaedah tradisional. Salah satu di antara kaedah alternatif yang popular pada masa kini ialah dengan menggunakan lintah.
Bekam lintah antara yang disediakan bagi pakej rawatan senggugut yang turut mengandungi bertangas dan urutan refleksologi.
Melalui rawatan ini, selepas bertangas kaki pelanggan akan diurut refleksologi selama setengah jam menggunakan keratan rotan yang ditekan pada poin-poin tertentu bagi melancarkan sistem saraf tubuh.
Seterusnya, beberapa ekor lintah akan dilepaskan pada permukaan kulit yang telah disapu dengan alkohol. Lintah akan ‘bertugas’ menghisap darah kotor dalam tempoh tertentu sebelum gigitan dicabut.





Malaysia Sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan


KERAJAAN BANTU PROMOSI PELANCONGAN PERUBATAN


Pulau Pinang 1 Mei - Kerajaan akan membantu mempromosikan pelancongan perubatan di luar negara melalui tiga kementerian dengan kerjasama Persatuan Hospital Swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Perubatan.
Menteri Kesihatan menjelaskan, tiga kementerian itu ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Perlancongan, dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Beliau Berkata, promosi tersebut turut melibatkan 23 buah hospital swasta yang mempunyai pusat kepakaran masing-masing yang mampu manarik minat pesakit terutama dari negara-negara membangun.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan berusaha untuk memendekkan masa menunggu giliran pembedahan di hospital swasta negara ini adalah cepat. Paling lama di institut Jantung Negara (IJN) adalah antara dua hingga tiga bulan.
"Hospital swasta lain mampu melakukan pembedahan secepat mungkin dan mereka juga mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang setanding dengan kepakaran dari luar negara," katanya semasa merasmikan Pusat Kepakaran CT-Scan dan MRI di Hospital Loh Guan Lye di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia berupaya menyediakan pakej-pakej perubatan yang mampu dibayar oleh pesakit dari negara-negara jiran untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik. Beliau memberitahu, MITI akan mengadakan lawatan perdagangan dan perniagaan di Bahrain dan Arab Saudi bersama-sama wakil Persatuan Hospital Swasta yang akan turut mempromosikan kemudahan perubatan di 28 buah hospital swasta di Malaysia.
Setakat ini katanya, Malaysia mencatat peningkatan jumlah pesakit luar negara yang mendapatkan rawatan di 13 buah hospital swasta daripada 30,000 orang pada tahun 1998 kepada 77,000 orang pada tahun1999. Bagaimanapun katanya, hanya enam buah hospital yang telah memberi laporan perolehnya iaitu RM10 juta pada tahun 1998 dan meningkat kepada RM15.8 juta pada tahun 1999.
Menteri Kesihatan memberitahu, promosi berasingan turut dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Melaka di negara-negara jiran termasuk Indonesia bagi menarik lebih ramai kedatangan pesakit. Beliau berkata, lima buah hospital swasta di Pulau Pinang berjaya menarik pesakit luar negara termasuk dari Indonesia, China, Brunei, Singapura dan Timur Tengah.
"Apabila ramai pesakit masuk ke negara ini bersama-sama keluarga masing-masing maka hal ini akan turut membantu sektor lain seperti pelancongan dan perindustrian," tambah beliau.

Sunday 29 April 2012

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Sukan

Datuk Lee Chong Wei



Datuk Lee Chong Wei sememangnya merupakan suatu ikon kejayaan Malaysia, terutamanya pada masa kini. Bakat beliau yang begitu mengasyikkan telah menjadi perintis kepada bidang kesukanan Malaysia, khususnya dalam sukan badminton. Kini, beliau digelar “Pemain Badminton No. 1 di Dunia” dan ini sesungguhnya telah menaikkan imej negara di persada dunia.

Anak jati Malaysia ini telah dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang dan pada hari ini menetap di Bukit Mertajam. Walaupun beliau pada zaman mudanya amat menggemari permainan bola keranjang, beliau mula membenam minatnya dalam badminton sewaktu berusia 11 tahun. Pada masa itulah, beliau dibawa ke gelanggang badminton oleh ayahnya yang merupakan peminat permainan ini. Bakatnya terserlah walaupun masih muda dan hal ini telah menarik perhatian seorang jurulatih tempatan yang sanggup melatihnya. Beberapa tahun kemudian, Lee Chong Wei yang berusia 17 tahun didaftarkan ke dalam pasukan badminton Malaysia oleh Misbun Sidek.

Sejak hari itu, kerjaya beliau telah berkembang dan kejayaan pertama beliau adalah dalam pertandingan Malaysia Open pada tahun 2003, walaupun beliau dikalahkan oleh Chen Hong dari China. Tidak lama kemudian, pada tahun 2004 beliau mendapat peluang bermain dalam Sukan Olimpik untuk mengharumkan nama negara. Walaupun dikalahkan oleh Chen Hong sekali lagi, kegigihannya akhirnya berbalas jua apabila beliau berjaya merangkul dua pingat emas dalam Sukan Komanwel pada tahun 2006. Pada tahun 2010, beliau berjaya mendapat
 anugerah individu dalam pertandingan All England Super Series. Nama dan reputasinya dalam bidang kesukanan Malaysia terus meningkat dan kejayaan beliau dalam sukan ini telah menjadi kebanggaan Malaysia.

Pendek kata, Malaysia dikurniakan dengan seorang yang berbakat dalam bidang kesukanan badminton dan Datuk Lee Chong Wei akan terus menjadi simbol kegigihan dan usaha berdaya maju bagi generasi baru Malaysia untuk mengejar impian dan cita-cita. Sememangnya kita semua harus menjadikan beliau sebagai teladan dalam berusaha mencapai kejayaan untuk tanah air yang tercinta.


Datuk Nicol Ann David



Datuk Nicol Ann David merupakan pemain skuasy professional Malaysia. Beliau telah mengukir nama untuk Malaysia di arena skuasy dunia, sekurang-kurangnya dalam kategori wanita. Kini, beliau dikenali sebagai pemain skuasy wanita No. 1 di Malaysia dan merupakan orang Asia pertama untuk mendapat gelaran tersebut. Beliau turut merupakan kebangaan Malaysia dalam bidang kesukanan.

Nicol merupakan cahaya mata jurutera tempatan berbangsa India, Desmond David dan seorang guru berbangsa Cina yang telah bersara, Ann Marie David. Beliau mempunyai dua orang adik-beradik, Lianne dan Cheryl yang juga merupakan pemain skuasy peringkat negara. Sebagai seorang kanak-kanak, Nicol seorang pelajar yang cerdik dan Matematik merupakan matapelajaran terbaiknya. Malah, dalam peperiksaan PMRnya, Nicol berjaya mencapai keputusan 7A dan ini membawanya satu langkah ke hadapan untuk mengecapi cita-cita menjadi jurutera seperti ayahnya.

Sejak beliau mula berkecimpung dalam sukan skuasy, beliau telah banyak mencapai kejayaan dan antaranya ialah kemenangannya dalam pertandingan World Junior Squash Championship dalam kategori wanita pada tahun 1999. Pertandingan tersebut berlangsung di Antwerp, Belgium dan beliau telah menjadi wanita termuda, pada usia 15 tahun, untuk memenangi pertandingan tersebut. Malah, beliau telah mengalahkan tiga pemain yang tersenarai dalam 20 pemain skuasy terhandal dunia dalam pertandingan tersebut. Hal ini telah membanggakan tanah air dan kejayaannya tidak berhenti di situ apabila Nicol, pada usia 21 tahun, menjadi pemain skuasy termuda untuk memenangi pertandingan World Open di Jerman. Tidak lama kemudian, beliau menjadi pemain skuasy tempatan pertama untuk memenangi pertandingan Women’s CIMB Malaysian Open Squash Championship yang tidak pernah berlaku sejak 31 tahun pertandingan ini diadakan. Kejayaan terbarunya diukir semasa Datuk Nicol Ann David, pada tahun 2010, memenangi Kuala Lumpur Open untuk kali ke-enam sejak tahun 2000.

Sesungguhnya Datuk Nicol Ann David merupakan symbol kecemerlangan Malaysia dalam sukan skuasy dan kita sebagai generasi muda Malaysia harus mengambil iktibar dan meneladani tokoh Malaysia ini. Beliau telah banyak memberi sumbangan kepada negara ini dan menaikkan nama Malaysia dalam bidang kesukanan sedunia.




Kejayaan Malaysia dalam Bidang Pembangunan Negara



Menara Berkembar Petronas (KLCC)



Menara Berkembar Petronas merupakan simbol kemodenan dan kemajuan Malaysia dalam sains dan teknologi. Dilengkapkan pada tahun 1998, menara berkembar ini merupakan visi mantan Perdana Menteri ke-4, iaitu Dr. Seri Mahathir bin Mohammad dalam usaha pemodenan Malaysia seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pesat supaya negara tidak ketinggalan. Menara ini direka oleh dua orang arkitek dari Argentina, César Pelli dan Djay Cerico dan menjadi bangunan tertinggi di dunia pada masa itu. Gelaran bangunan tertinggi di dunia bagi Menara Berkembar Petronas bertahan dari tahun 1998 hingga 2004, sebelum bangunan Taipei 101 di Taiwan siap dibina dan diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia pada tahun 2004. Walau bagaimanapun, menara berkembar ini masih menjadi ikon Malaysia yang berwawasan dan bangunan ini akan sentiasa mengingatkan rakyat bahawa negara Malaysia mampu menjadi negara yang maju dan berjaya.

Bangunan ini mempunyai ketinggian sebanyak 451.9 m dan keluasan sebanyak 395,000 meter per segi. Bangunan ini juga mempunyai 88 tingkat dan kos pembinaan kedua-dua menara menelan sebanyak RM1.6 bilion! Terdapat beberapa cirri-ciri dalam bangunan ini yang menjadi tarikan pengunjung dan antaranya ialah “Skybridge”, iaitu sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua menara dalam tingkat 41 dan 42. Selain menonjolkan nilai estetika menara berkembar ini, jambatan “Skybridge” ini juga berfungsi sebagai aspek keselamatan sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran dalam salah satu menara. Selain jambatan ini, taman KLCC yang terdapat di perkarangan bangunan ini (terletak berhampiran Suria KLCC) juga menjadi faktor tarikan pengunjung. Seluas 17 ekar, taman ini mempunyai panorama yang begitu indah walaupun terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur dan pelbagai kemudahan disediakan seperti jalan khas untuk berjalan atau berjoging dan taman permainan kanak-kanak. Taman KLCC juga memiliki pancut air dan pertunjukan cahaya yang menjadikan taman itu amat mempesonakan bagi mereka yang mengunjung taman itu pada waktu malam.

Sememangnya Menara Berkembar Petronas merupakan kejayaan Malaysia yang terbesar pada zaman modenisasi ini dan kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berbangga dengan Malaysia yang mampu mencapai kejayaan dalam bidang sains mahupun teknologi. Sekiranya kita mengambil iktibar daripada bangunan berkembar ini, kita mampu menghasilkan kejayaan yang lebih besar lagi, selagi kita percaya bahawa “Malaysia Boleh”.




Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)





KLIA, seperti yang diketahui oleh rakyat Malaysia, merupakan suatu bangunan yang menonjolkan kesenian yang unik dan menjadi teras kepada sektor pelancongan asing negara ini. Lapangan terbang ini juga merupakan lapangan terbang yang paling sibuk di Asia Tenggara dan menjadi lapangan terbang utama di Malaysia. Lapangan ini terletak di daerah Sepang, iaitu di Selangor dan berada 50 kilometer dari pusat Kuala Lumpur. KLIA menelan belanja sebanyak RM3.5 bilion untuk pembinaan.

Perancangan untuk pembinaan KLIA bermula pada tahun 1990 apabila kerajaan pada masa itu memutuskan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, atau kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, tidak mampu menampung permintaan masa hadapan dalam bidang penerbangan dan pelancongan. Kini, KLIA berupaya menampung 35 juta penumpang dan 1.2 juta tan metrik kargo setahun! Pada tahun 2007, KLIA dipangkatkan sebagai lapangan terbang ke-7 paling sibuk di Asia dan seramai 26,938,970 orang penumpang menggunakan KLIA pada tahun itu.


Terdapat beberapa kemudahan dan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan antaranya ialah Terminal 1, iaitu terminal utama KLIA. Terminal ini terletak di antara dua “runway” lapangan tersebut. Terminal itu mempunyai keluasan sebanyak 336,000 meter per segi dan sebanyak 216 kaunter pendaftaran boleh dijumpai di terminal tersebut. Dengan adanya kaunter-kaunter tersebut, operasi pendaftaran penumpang dan pembelian tiket penerbangan dapat berjalan dengan lancar. Selain Terminal 1, terminal “Satellite” A menjadi tumpuan di KLIA kerana di terminal tersebut, terdapat banyak kedai bebas cukai yang menjual barangan berjenama antarabangsa. Penumpang perlu menaiki “aerotrain” untuk ke terminal ini dan pelbagai kemudahan disediakan dalam terminal “Satellite” seperti surau, tempat mandi, dan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma. Malah, terdapat hutan hujan mini di tengah-tengah terminal tersebut untuk mempamerkan keindahan alam semulajadi di Malaysia.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghargai dan menghayati kebanggaan Malaysia ini, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kejayaan dalam pembinaan struktur unik ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha yang gigih serta pandangan yang berwawasan ke arah masa hadapan.


Malaysia Airlines (MAS)

 

Syarikat Malaysia Airlines, atau lebih dikenali sebagai MAS, merupakan syarikat penerbangan tunggal yang dimiliki kerajaan Malaysia. Syarikat ini telah membawa nama Malaysia ke seluruh pelosok dunia melalui industri penerbangan antarabangsa dan kini, syarikat penerbangan Malaysia Airlines merupakan antara syarikat yang paling berjaya dalam arena penerbangan domestik dan antarabangsa di Asia Tenggara. Malaysia Airlines mengendalikan setiap penerbangan dari pusatnya, iaitu KLIA, dan pusat sekundernya di Kota Kinabalu.

Malaysia Airlines menyediakan pelbagai kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya dan antaranya ialah kaunter CUSS yang membantu para pelanggan mendaftar untuk penerbangan dari 2 hingga 48 jam sebelum kapal terbang berangkat. Selain itu, MAS turut menyediakan “Golden Lounge” di lapangan-lapangan terbang tertentu. “Golden Lounge” ini memberi perkhidmatan seperti pusat perniagaan, makanan, bilik rehat, dan pusat menjaga kanak-kanak. Kabin-kabin dalam kapal terbang milik syarikat MAS juga terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Kabin Kelas Pertama versi terbaru diperkenalkan pada tahun 2005 dan hanya terdapat dalam kapal terbang Boeing 747-400. Hanya 12 tempat disediakan untuk kelas tersebut. Kelas “Golden Club” pula diperkenalkan pada tahun 2005 dan perkhidmatan hiburan dalam bentuk filem-filem, berita, dan dokumentari disediakan melalui peralatan-peralatan seperti “Portable Media Player (PMP)” untuk penerbangan yang melebihi 3 jam. Dalam kabin kelas Ekonomi pula, sebuah TV ditempatkan dalam setiap kerusi dan skrin LCD juga menayangkan filem-filem untuk tontonan umum.

Pendek kata, syarikat Malaysia Airlines telah banyak mengalami perubahan sejak penubuhannya pada tahun 1937 dan telah berevolusi dari syarikat penerbangan yang kecil-kecilan sehingga menjadi ikon industri penerbangan di Malaysia dan juga negara serantaunya. Malaysia Airlines merupakan salah satu kejayaan Malaysia dan legasinya serta sejarah di sebalik syarikat penerbangan yang dikenali seluruh dunia harus disemadikan dalam jiwa kita semua. Oleh itu, kita juga haruslah mengambil iktibar daripada syarikat yang berjaya ini supaya kita semua boleh menyumbang kepada negara kelak.